XI GROUP  |  Xing Lin TCM Centre

Apa Itu Perubatan Cina Tradisional (TCM)

Perubatan Cina Tradisional atau TCM TCM (Traditional Chinese Medicine) berasal dari negara China dan mula dipraktikkan sejak dahulukala lagi. Ia adalah sistem penyembuhan yang bebas dan bersepadu yang tetap utuh dan mampu bertahan selama beribu-ribu tahun. TCM adalah cabang perubatan holistik yang menganggap badan manusia sebagai sebuah sistem bersepadu yang tidak dapat dipisahkan daripada alam semesta. Badan manusia ditakrifkan sebagai sebuah sistem yang cukup lengkap, namun masih berinteraksi rapat dengan alam sekitar.

TCM terdiri daripada beberapa pendekatan yang berbeza seperti akupunktur, moxibustion, perubatan herba, Tuina (urutan terapeutik), terapi diet, tai chi dan qi gong. TCM boleh digunakan untuk mencegah dan juga merawat penyakit.

Rawatan TCM dirancang mengikut keperluan setiap individu dan tidak semestinya berdasarkan keadaan penyakit. Dalam sistem ini, tahap kesihatan yang memuaskan dapat dicapai dengan menyeimbangkan dua elemen utama yang bertindak secara bertentangan namun perlu wujud secara seiringan: “Yin” dan “Yang”.

TCM percaya bahawa Qi ialah kuasa atau tenaga hidup yang mempengaruhi kesihatan manusia. Keseimbangan Yin dan Yang dianggap sebagai asas untuk memastikan aliran Qi yang sempurna. Oleh itu, sebarang gangguan dalam sistem Yin dan Yang sudah pasti akan mengganggu aliran Qi, seterusnya mengundang pelbagai penyakit atau kesakitan.