XI GROUP  |  Xing Lin TCM Centre

Apa itu akupunktur?

Akupunktur adalah salah satu kaedah rawatan di dalam Perubatan Tradisional Cina. Kaedah rawatan akupunktur ini menggunakan jarum yang sangat halus, dimasukkan ke dalam titik akupunktur khusus yang dipilih oleh pengamal akupunktur.

Titik akupunktur ini dipilih berdasarkan penyakit dan keadaan tubuh badan setiap pesakit. Berdasarkan Perubatan Tradisional Cina, penyakit berpunca daripada ketidakseimbangan perjalanan tenaga atau Qi (‘chi’) di dalam badan. Apabila pergerakan Qi tersekat, ini akan menyebabkan masalah atau penyakit di dalam badan. Qi mempunyai laluan atau jalan yang dipanggil meridian, dan ianya bergerak melalui meridian seperti air sungai yang mengalir ke seluruh anggota badan untuk memberi nutrisi kepada organ dan tisu badan. Setiap laluan meridian ini bersambung dan tersebar di seluruh badan. Apabila laluan itu timbul di permukaan tubuh, ianya dipanggil titik akupunktur. Teknik akupunktur berfungsi untuk membuka sebarang sekatan terhadap pergerakan Qi dengan memasukkan jarum pada satu titik yang spesifik pada badan.

Mengikut kajian saintifik moden, meletakkan jarum akupunktur pada titik tertentu yang spesifik di bahagian badan akan merangsang bahan kimia dalam otot, saraf tunjang dan otak. Ini akan merangsang pembebasan hormon dan bahan kimia yang lain yang membantu regulasi badan dan menukar rangsangan kesakitan kepada perasaan yang lebih baik. Keseimbangan hormon dan bahan kimia ini dapat membantu badan dalam proses penyembuhan dan keseimbangan emosi.

Sakit di tempat yang lain, tetapi cucuk di tempat yang lain????!!

Anda mungkin kehairanan mengapa yang sakit adalah di kepala, tetapi yang dicucuknya adalah di tangan atau kaki. Ini disebabkan laluan meridian saling bersambung antara satu sama lain dan tersebar di seluruh anggota badan. Tambahan pula, setiap titik akupunktur mempunyai fungsinya yang tersendiri. Oleh kerana itu, pengamal akupunktur tidak hanya menggunakan titik akupunktur di lokasi yang sakit sahaja tetapi juga menggunakan titik meridian yang terletak jauh dari lokasi yang sakit untuk membaiki bahagian tersebut kerana laluan itu saling berhubung antara satu sama lain.

Adakah Akupunktur ini selamat?

Akupunktur merupakan satu kaedah yang selamat JIKA dilakukan oleh pengamal perubatan tradisional Cina yang berkelayakan, dengan mengunakan teknik-teknik yang betul di samping menitikberatkan kebersihan. Akupunktur merupakan satu teknik invasif yang turut mempunyai risiko komplikasi seperti risiko tusukan ke organ badan seperti paru-paru dan salur darah utama, risiko jangkitan kuman, dan pendarahan. Oleh itu, carilah tempat pengamal akupunktur yang berkelayakan dan diperakui! Kesan sampingan akupunktur adalah rendah jika langkah-langkah berjaga-jaga diambil semasa menjalankan rawatan akupunktur ini.

Teknik Akupunktur

Terdapat pelbagai teknik akupunktur yang boleh digunakan seperti acupressure: penggunaan urutan pada titik akupunktur, moksibusi : membabitkan pembakaran mugwort iaitu sejenis herba lembut seperti span yang diletakkan bersama jarum akupunktur dan elektrik akupunktur: mengalirkan arus elektrik yang terkawal pada jarum akupunktur untuk tujuan rawatan.

Apakah kesakitan yang boleh dirawat dengan menggunakan akupunktur?

Akupunktur boleh merawat pelbagai penyakit dan TIDAK HANYA TERTUMPU kepada masalah otot sahaja! Antara penyakit yang boleh dirawat adalah seperti masalah dalaman, masalah wanita, depresi dan lain-lain lagi. Ingin mengetahui dengan lebih lanjut jika kesakitan anda boleh dirawat menggunakan akupunktur? Tanyalah kami sekarang!

  1. Traditional & Complementary Medicine Practice Guideline on Acupuncture (second edition Nov 2009)
  2. PORTAL MyHEALTH. 2021. Rawatan Akupuntur Bagi Pesakit Post Strok – PORTAL MyHEALTH. [online] Available at: <http://www.myhealth.gov.my/rawatan-akupuntur-dalam-pesakit-post-strok/> [Accessed 16 February 2021].